Selamat datang ke blog GAMIS. Semoga perjuangan Islam terus mara ke depan.
PERHATIAN: Kepada sahabat-sahabat sekalian, web www.gamisdaily.com sudah dibuka. Namun begitu ianya masih menggunakan weblog. Sekiranya terdapat cadangan dan kritikan bolehlah emailkan kepada editor@gamisdaily.com

Artikel Terkini GAMIS

****************************************************

Ahad, Julai 27, 2008

Konvensyen Mahasiswa Perak

Konvensyen mahasiswa khusus utk seluruh mahasiswa Perak akan diadakan :

Program : Konvensyen Mahasiswa Perak
Tarikh: 2 ogos 2008
Tempat : Ipoh , Perak

salam perjuangan:
aktivis BERSATU

Agenda :
1) ucaptama dari YAB Menteri Besar PERAK
2) FORUM semasa dari ADUN kerajaan nergeri PERAK
3) perbincangan dan resolusi mahasiswa negeri perak

untuk makluman lanjut :
hubungi zulhilmi awang- 0194140995, khairun nizam 0199106280 Baca lagi...

Rabu, Julai 23, 2008

GAMIS Mahu Konsert Inul dihentikan

Mohd Dzul Khairi Bin Mohd Noor,
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS).

Sebelum panas kembali reda dengan isu Inul Daratista menangis dan pengsan gara-gara pembatalan konsert yang sepatutnya berlangsung di negeri Johor, rakyat dikejutkan semula dengan pengumuman bahawa Inul Daratista akan melangsungkan konsert di Kuala Lumpur pada 27 Julai sebagai ganti kepada konsert yang terbatal.

Mewakili suara kelompok anak-anak muda yang cintakan kesejahteraan agama Islam dan budaya ketimuran yang penuh kesopanan, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia dengan ini menggesa agar pihak terbabit dan kerajaan mempertimbangkan semula rancangan tersebut.

Ini adalah kerana, selain konsert ini bertujuan memberi hiburan semata-mata dan mengasyikkan para penonton dengan aksi yang mengghairahkan, ia tidak mempunyai apa-apa faedah lain seperti membantu memperkasakan modal insan belia khususnya dan rakyat amnya.

Umum mengenali Inul Daratista sebagai seorang penyanyi yang agak kontroversi hatta di negara asalnya sendiri. Semenjak isu pakaian yang kurang sopan dan “goyang gerudi”nya diperdebatkan oleh beberapa tokoh ulama terkenal Indonesia malah turut dikritik lantang oleh salah seorang pejuang irama dangdut itu sendiri, penyanyi Rhoma Irama, bermula tahun 2006, populariti penyanyi gelek ini semakin merosot. Justeru adalah tidak munasabah sekiranya kerajaan berpandangan pula dengan membenarkan konsert ini berlangsung, kedatangan Inul dilihat sebagai mewakili Indonesia sedangkan majoriti rakyat Indonesia tidak meletakkan beliau sebagai ikon negara yang wajar dicontohi.Rentetan daripada jolokan pelopor tarian gelek berunsur lucah, konsert Inul Daratista juga semakin sedikit bilangannya dan semakin tidak digemari rakyat Indonesia itu sendiri. Kerajaan dicadangkan menggantikan penyanyi tersebut dengan artis yang jauh lebih sopan dan terkenal serta benar-benar mewakili imej Indonesia seandainya ingin meraikan negara jiran serumpun seperti Titiek Puspa, Hetty Koes Endang, Didi Petet dan Deddy Mizwar.

Kita boleh sahaja memberi garis panduan agar beliau tidak menayangkan aksi panasnya namun, seperti yang dikumandangkan dalam antara lagu beliau , siapalah Inul tanpa geleknya. Keistimewaan Inul adalah pada gelekannya,maka, tanpanya hilanglah aset penting persembahannya.

Jumlah kes rogol dan pencabulan kehormatan di Malaysia semakin bertambah dari hari ke sehari. Malah kita masih tidak dapat melupakan mimpi ngeri rakyat Malaysia apabila digemparkan dengan kes rogol kanak-kanak di bawah umur. Justifikasi, dalam usaha mengurangkan masalah sosial ini, adalah sewajarnya kita cuba menghapuskan punca-puncanya seperti tarian yang mengghairahkan tersebut. Tidak dinafikan ia adalah atas dasar iman masing-masing, namun, kita juga perlu berusaha mengenalpasti serta menghapuskan kejadian-kejadian yang turut menyumbang ke arah kegagalah kawalan nafsu manusia.

Selain daripada sebab-sebab di atas, ketegasan pihak Gamis dalam menyeru pihak kerajaan agar memberhentikan konsert tersebut adalah kerana pihak Gamis juga ingin menyelamatkan maruah Inul sebagai seorang wanita mulia yang diciptakan Tuhan agar tidak terus dipijak maruahnya apabila dinobatkan sebagai simbol seks di mata lelaki. Gamis mahu agar setiap manusia kembali dimuliakan kedudukannya sepertimana tujuan asal kejadiannya diciptakan Tuhan.

Kesimpulannya, demi kesejahteraan rakyat Malaysia dan ke arah memperkasakan generasi muda yang berkualiti serta mampu menjadi pelapis pimpinan terbaik masa depan, Gamis dengan ini sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan harus membatalkan konsert tersebut serta merta dan memandang berat sesuatu isu semasaknya serta benar-benar serius dalam usaha membangunkan modal insan sebelum mengambil satu-satu keputusan yang berkait rapat dengan hal rakyat.
Baca lagi...

Isnin, Julai 21, 2008

Nantikan Konvensyen Wanita anjuran HELWANI !!!



Sila letakkan di blog PMI masing-masing. Baca lagi...

Khamis, Julai 17, 2008

GAMIS Gesa Timbalan Perdana Menteri Turut Diheret ke Muka Pengadilan

Tidak cukup dengan kenaikan harga minyak yang terus didebatkan oleh rakyat marhain saat ini, kini seluruh rakyat Malaysia diasak berdepan dengan pergolakan politik mahadahsyat sedang melanda Malaysia. Seolah-olah rakyat tersepit dalam pentas perebutan kuasa antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Razak. Sehingga kini juga, banyak peristiwa besar membabitkan krisis keyakinan terhadap sistem keadilan dan kehakiman negara, bermula dengan kes pita video VK Lingam, sehinggalah kepada akuan bersumpah Raja Petra Kamarudin membabitkan penglibatan isteri Timbalan Perdana Menteri dalam kes bunuh Altantuya, dan kemudiannya timbul pula kes pertuduhan liwat ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mendokong asas keadilan sosial yang tidak mengira siapa pun, yang bersalah mesti dibuktikan bersalah dan yang menuduh mesti mengemukakan bukti secukupnya. GAMIS melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan “double standard” badan kehakiman dan institusi polis yang nampak sangat ghairah mengendalikan kes membabitkan Anwar Ibrahim manakala kes yang membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didiamkan begitu sahaja. GAMIS dengan tegas mendesak sistem keadilan negara supaya melakukan siasatan segera kepada tertuduh dalam akuan bersumpah Raja Petra Kamarudin iaitu isteri Timbalan Perdana Menteri, kerana kredibiliti sistem keadilan akan terus tercemar dan dianggap ‘boneka’ pemerintah yang desperate jika siasatan kepada beliau tidak dilakukan.

GAMIS menegaskan bahawa kedua-dua tokoh ini, sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun Datuk Seri Najib Tun Razak, keduanya perlu disiasat dengan adil. Apa yang menghairankan, hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja yang komited untuk memberikan kerjasama kepada badan berkuasa untuk melakukan siasat bahkan membuat penangkapan ke atas beliau atas tuduhan liwat, manakala Datuk Seri Najib yang dituduh terlibat dengan jenayah yang lebih berat seolah-olah dibiarkan tanpa sebarang siasatan polis dan dan pendakwaan di mahkamah. Tindakan Timbalan Perdana Menteri mahupun isterinya menyembunyikan diri dari soalsiasat polis hanya menyerlahkan sikap pengecut dan bacul pemimpin negara untuk dibawa ke muka pengadilan.

Walaupun menerima pertuduhan liwat, seluruh mahasiswa Islam tetap menyokong asas perjuangan membela rakyat dan mewujudkan sistem pemerintahan anti-rasuah yang dibawa secara konsisten dan bersungguh oleh bekas tahanan ISA, Datuk Seri Anwar Ibrahim. GAMIS berpendirian bahawa jika keadilan di Malaysia dijunjung dan dilaksanakan tanpa memilih bulu, GAMIS percaya Datuk Seri Anwar adalah orang yang tidak bersalah dan difitnah sebagaimana dibuktikan oleh keputusan mahkamah yang menggugurkan pertuduhan liwat ke atas beliau pada 1998.

Ridhuan Othman,
Timbalan Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Baca lagi...

Rabu, Julai 16, 2008

GAMIS Kesal Tindakan PTPTN

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) kecewa dengan tindakan pihak PTPTN yang jelas mahu memperbodoh mahasiswa dengan merahsiakan tindakan mereka ‘mencuri’ RM 114 dari duit pinjaman mahasiswa baru pada pembukaan semester baru-baru ini atas alasan kos insurans .

GAMIS juga akan mendedahkan dalam masa terdekat satu kajian yang telah dibuat kepada lebih dari 1200 responden mahasiswa di 5 buah kampus (UIAM, UM, UKM, UPM, UTMKL) bagi membuka mata kerajaan yang nampak tidak mempedulikan kesan melampau kenaikan harga minyak dan bahan makanan kepada golongan mahasiswa.

GAMIS tidak akan teragak-agak untuk menubuhkan sebuah badan bertindak bagi mendesak kerajaan lebih prihatin kepada nasib dan kebajikan mahasiswa.

GAMIS juga mendesak kepada Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang menggabungkan semua Presiden-presiden MPP-MPP IPTA supaya bertindak secara agresif terhadap kerajaan dalam soal membela nasib mahasiswa yang menghadapi tekanan ekonomi selepas kenaikan harga minyak dan kesan berantai darinya.


Mohd Dzul Khairi Mohd Nor

Presiden,

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia
Baca lagi...

GAMIS akan terus lesu sekiranya...

"GAMIS akhir-akhir ini semakin lesu. Sambutannya tidak sehangat dulu. Bahananya, GAMIS diafiliasikan dengan parti politik yang secara jelasnya menghasilkan impak negatif dalam jangka panjang. GAMIS dilihat sekadar menjadi kuda tunggangan parti politik yang berkepentingan. Persepsi masyarakat nyata terpesong dengan realiti sebenar perjuangan GAMIS. Media pun turut mengharubirukan ! " - Suhaimi al-Maniri, "GAMIS Hilang Halatuju?", Siasah 13-19 Julai

Benar, GAMIS akan terus lesu sekiranya masih ada segelintir ahli-ahli GAMIS mahupun sesiapa sahaja yang 'meminati' pergerakan GAMIS yang tidak boleh menerima hakikat GAMIS memperjuang politik nilai (independent group, catalys, pressure group, sofwah al-mukhtarah, check and balance, watch-dog), bukan menjadi 'pak turut' atau 'rubber stamp' kepada perjuangan politik kekuasaan (partisan). Sejarah GAMIS sendiri menunjukkan GAMIS tidak diwujudkan oleh mana-mana parti politik di Malaysia, bahkan GAMIS yang turut sama tampil mencorak iklim politik Malaysia menjelang PRU 1990 dan membekalkan (kilang) pemain-pemain utama percaturan politik Malaysia (BN-PR) pada hari ini.

GAMIS akan terus lesu sekiranya kedapatan segelintir ahli-ahli GAMIS yang memahami fungsi GAMIS sebagai "jurubicara hal ehwal kampus" semata, bukan lagi "mahasiswa jurubicara ummah" secara keseluruhan, masalah kampus mahupun airmata rakyat. GAMIS akan terus lesu sekiranya GAMIS dianggap "pressure group" kepada HEP, bukannya "pressure group" kepada kerajaan pemerintah. GAMIS akan terus lesu sekiranya perkataan "MAHA" pada MAHA-siswa Islam semacam mahu dibuang akibat pemahaman segelintir ahli-ahli GAMIS yang tidak nampak keperluan GAMIS mencipta gelombang dan "kuasa" yang tersendiri atas nama "student power", atas sumpah menggalas amanah nubuwwah bahawa "agama itu nasihat" kepada sesiapapun.

GAMIS akan terus lesu sekiranya aksi-aksi mahasiswa Islam 'diswastakan' kepada individu-individu tertentu atau PMI-PMI di kampus Lembah Klang. GAMIS akan terus lesu sekiranya intelegen-intelegen siasah kampus terus berfikir untuk masa depan politik kampus masing-masing sahaja, tiada masa untuk memberi lantas memimpin idea agresif untuk mencorak gelombang politik GAMIS di peringkat nasional. GAMIS akan terus lesu sekiranya aktivis-aktivis penerangan atau penyelidikan di peringkat PMI-PMI kampus terus membuat penyelidikan dan kajian isu semasa dalam ruang lingkup kampus sahaja atau untuk tujuan memperkasa atau mempopular PMI masing-masing sahaja, bukannya untuk kepentingan GAMIS di peringkat nasional, yang setiap hari - dengan 'kakitangan' yang terhad - diasak untuk menyatakan pendirian bersama 'proof' yang 'valid' , bukan hujah-saranan yang simplistik kepada setiap pergolakan harian politik-sosial-ekonomi negara.

GAMIS akan terus lesu sekiranya topik sejarah gerakan mahasiswa di serata dunia dan sepanjang zaman, sejarah gerakan mahasiswa Islam di beberapa buah negara Muslim dan peranan mereka dalam mencorak negara, serta gerakan anak muda sepanjang zaman (sejak zaman Nabi 'anak muda' seperti Sulaiman, Yusuf, Ibrahim dan Muhammad a.s) tidak dimaterikan sebagai topik-topik 'nombor wahid' silibus tarbiyah ahli-ahli tegar PMI-PMI kampus.

GAMIS akan terus lesu sekiranya pentarbiyahan ahli-ahli PMI masih terus berkiblatkan kepada silibus yang digubal pada 10-20 tahun dahulu, tidak berani melakukan perubahan mahupun penambahbaikan melainkan dalam perkara teknikal dan pendekatan semata, bimbang 'status quo' tinggalan generasi dulu tercabar. Walhal zaman telah jauh berubah, pemikiran dan 'interest' mad'u semakin jauh berbeza, perkembangan sains dan teknologi semakin dahsyat, perang pemikiran semakin 'ganas' di sesawang-sesawang maya, tetapi kita terus dengan subtance, mentaliti, uslub dan brand 'lama' kita.

Peristiwa 8 Mac 2008 seharusnya membibitkan 'tsunami' di peringkat skema pentarbiyahan takwin-tanfiz ahli-ahli PMI. Apakah silibus tarbiyah kampus masih mengulang soal-soal yang terlalu fundamental dalam fiqhul-tanzim atau sudah tiba masanya usrah diasak membincangkan secara serius dan kritikal masa depan perjuangan Islam di pentas demokrasi, soal tahalluf siyasi (cth isu PAS-UMNO), soal pendekatan gerakan Islam dalam soal hiburan dan artis (cth isu Mas Idayu dan "Karburetor" 6 Julai), fiqh awlawiyyat gerakan (cth isu negara berkebajikan vs negara Islam), atau sebarang topik "pasca 8 Mac" yang banyak menjadi dilema tanpa jawapan dari gerakan Islam seperti PAS yang disebut-sebut mampu menjadi waiting government yang lebih baik ? Apakah gerakan mahasiswa Islam mahu terus dicorak, bukannya mencorak rentak gerakan Islam di luar sana sebagaimana KAMMI Indonesia (Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia) yang mampu mencipta iklim baru politik gerakan Islam di Indonesia dengan "melahirkan" PKS ?


GAMIS akan terus lesu sekiranya silibus usrah untuk ahli-ahli PMI di tahun kedua, ketiga, mahupun tahun akhir terus menerus menjadi medan "qadha" kemalasan ahli-ahli untuk membaca bahan-bahan bacaan yang terlalu asas (classic) yang tidak sepatutnya medan usrah di usia muda 22-23 tahun (baca : usia al-Fateh menawan Konstantinople) terus-menerus membincang buku-buku fikrah yang bersifat "expired@out-of-date" dalam situasi "kebanjiran buku dan bloggers" di Malaysia saat ini (sebagaimana satu kajian semasa PRU 12 menunjukkan penggunaan Internet di Malaysia jauh lebih tinggi dari Amerika) mahupun rakan kita dari Indonesia pada hari ini. Jangan lupa pada kajian yang menunjukkan bahawa mahasiswa Malaysia hanya membaca 12 buah buku selama tiga tahun pengajian, manakala pelajar Australia ialah 180 buah, Indonesia (94 buah), India (130 buah), Thailand (56 buah) dan Brunei (26 buah).

GAMIS akan terus lesu sekiranya aktivis-aktivisnya tidak terdedah dengan "hikmah yang hilang" walau dari mana dan siapa sekalipun, sama ada aspek pemikiran, pendekatan mahupun tajribah (pengalaman) yang telah ditempuh oleh mana-mana gerakan Islam atau gerakan mahasiswa Islam serata dunia pada saat ini. GAMIS akan terus lesu sekiranya aktivis-aktivis nya belum berani menyentuh buku-buku baru 'pembakar' semangat gerakan mahasiswa seperti "Dari Gerakan ke Negara" tulisan Anis Matta, "Menyiapkan Momentum" tulisan Rijalul Imam dan banyak lagi, ataupun sekurang-kurangnya memahami asas-asas dan attitude 'student movement' melalui buku "Politik Kampus Di Sebalik Tabir", "Potret Perjuangan Mahasiswa Satu Cerminan Dekad" dan "Mahasiswa Menggugat". Atau sebarang buku-buku pemikir-pemikir Agung dunia selain tulisan Dr. Yusuf al-Qaradhawi walaupun dari cendiakawan Barat atau sebarang kertas-kertas kerja ilmiah mengupas isu-isu global atau bahan-bahan bacaan tahap 'berat' atau "berusrah" di seminar-wacana ilmiyyah yang boleh membina minda negarawan dalam pemikiran aktivis-aktivis dalam usrah-usrah PMI ?

GAMIS juga akan terus lesu sekiranya pemikiran-pemikiran baru, dan pengalaman-pengalaman, kepakaran-kepakaran, kelebihan-kelebihan berharga milik bekas-bekas aktivis GAMIS tidak dimobilasikan dalam satu ketumbukan alumni aktivis GAMIS, untuk tujuan memberikan idea-idea membina GAMIS - dengan paksi dan prinsipnya yang cukup jelas dan takkan berubah (independent-pressure group) - mengorak langkah 20 tahun seterusnya selepas sejarah naikturun GAMIS 20 tahun lepas.

GAMIS juga akan terus lesu sekiranya kepimpinan atau badan pengurus GAMIS itu mahu terus menjadikan "tumpuan dalaman" kampus masing-masing sebagai justifikasi untuk tidak memberikan komitmen sepadu mungkin kepada perjuangan gerakan mahasiswa Islam di peringkat nasional tatkala hampir setiap isu dan pergolakan harian politik-sosial-ekonomi Malaysia, masyarakat akan meneropong dan tertanya-tanya "di mana mahasiswa ???"...

Dan...

GAMIS akan terus lesu sekiranya GAMIS itu terus dianggap forum Presiden-presiden PMI sahaja atau 'hak milik' beberapa individu tertinggi kepimpinan PMI kampus sahaja, bukan sebuah "jamaah" mahasiswa Islam yang mempunyai nilai wehdatul fikr dan wehdatul amal yang kuat, dari pimpinan sehinggalah ke akar umbi. Syair Muhammad Iqbal pemikir agung Islam sangat baik dijadikan renungan bagi sama-sama kita melihat sejauhmana nilai "jamaah" GAMIS itu wujud dalam setiap diri dan hati ahli-ahli GAMIS di semua kampus ;

"Walaupun satu keluarga (baca : Jamaah), tetapi kami tak saling mengenali. Wahai Tuhanku, himpunlah daun-daun yang bertempiaran ini. Hidupkanlah lagi ajaran saling mencintai, ajari lagi kami berkhidmat seperti (generasi) dulu..."


Baca lagi...

Rabu, Julai 09, 2008

Protes terhadap PROTES yang memualkan

Sejak awal lagi saya menjangkakan api kemarahan rakyat akan timbul dalam kalangan rakyat yang hadir dalam PROTES di Stadium Kelana Jaya semalam. Di sebabkan saya telah mendapat berita awal bahawa konsep perhimpunan PROTES berubah daripada rapat umum menjadi “ekspo hiburan”, membuatkan diri sejak awal lagi menunjukkan protes terhadap PROTES dengan tidak mengambil bahagian di dalam protes yang diadakan ini.

Saya agak kesal dengan tindakan penganjur yang mempermain-mainkan hati rakyat apabila secara terang-terangan melakukan penipuan. Hebahan melalui web-web dan blog-blog, mewara-warakan bahawa perhimpunan PROTES adalah untuk menunjukkan protes terhadap harga minyak melalui himpunan sejuta rakyat, tetapi perlaksanaannya adalah berbeza.

Melalui konsep ala-ala fun-fair ini, himpunan PROTES ini dianggap sebagai perhimpunan yang cukup memualkan dan sesetengah pihak sebagai menggelarkannya perhimpunan “bacul”. Di tambah pula dengan aksi penyanyi yang menunjukkan bontotnya kearah penonton menyebabkan para hadirin pada hari itu terasa diri mereka dihina.

Sekiranya sebelum ini, ustaz-ustaz yang bersemangat dalam siri-siri demonstrasi secara terbuka mengkritik konsert sure heboh kerana melalaikan, kali ini PROTES juga menyajikan perkara sedemikian rupa kepada mereka. Tercatatlah di dalam sejarah bahawa ustaz-ustaz ini juga ditipu oleh Jawatankuasa PROTES.

Seharusnya himpunan ini lebih berjaya dan bermakna daripada Himpunan BERSIH. Suka diingatkan bahawa, mahasiswa dan rakyat bukannya golongan yang anti hiburan. Namun begitu, disebabkan himpunan yang diadakan untuk memperjuangkan isu rakyat, maka ianya perlulah dilakukan secara serius. Bukan hanya bekerja sekadar melepaskan batuk ditangga, kemudiannya masing-masing mahu mendapat nama hasil daripada publisiti murahan tersebut.

Mohd Faisal Bin Mustaffa
Ketua Penerangan GAMIS

http//:faisalkini.blogspot.com
Baca lagi...

Artikel Kampus Negara:

Forums (Kampus Negara)

Arkib Blog